Serasa Hati

sajak,puisi,kelana,kelana cinta

Cinta
serasa hati
melangit tinggi
diangkasa perasaan
bak gugusan bintang
bergemerlapan
seakan rimbunan restu
luruh ditangan
seakan haruman kenanga
mewangi digenggaman
demikian cerita waktu
takdir memahat restu
kusarungkan mahkotamu
cinta
kerana kita
serasa hati.

September 2014

Bahagialah

sajak,puisi,kelana,kelana cinta

Mengapa waktu
tak membeku
kerana aku dambakan
abadi
dalam kasih suci
selesa di cuaca rindu
dibawah langit cinta
yang berangin
dingin
mendakap diri
walau hanya sehari

Kerana waktu
deras mengalir laju
menggunung tinggi harapan
kubina
berdekad masa dan
usia
kaurobohkan dengan beberapa
patah kata
dalam beberapa saat saja

hati membeku
bahagialah cinta!
kerana aku…
hampa

Disember 2014

Tangan yang Ramah

sajak,puisi,kelana,kelana cinta

Sukarkah saudara
untuk menghulurkan
keramahan sepasang tangan
meringankan beban
jiwa bernama insan

yang
sarat dengan resah
hampa merasuk
saat selesai sebuah musibah
oleh air bah yang merah
mengairi Kota Bharu
seperti sebuah pulau
berlaut dalam
rakus
memamah nyawa insan
di rahang arus derasnya
tiada yang tinggal

hanya pengharapan
warga insan
yang tinggal secoret
dalam tak lena menggigil
berselimut secarik batik
makan tak berlauk
sekadar beralas perut

sukarkah saudara
untuk menghulur walau
karangan doa
sebuah senyum mesra
dan manis kata-kata
agar tenang dan reda
gerimis tengkujuh
dalam jiwa peneguknya
kerana kita tidak merasa

cukuplah itu semua
cukuplah kita
sebagai warga yang amanah

-Terima kasih kalian
wahai tangan yang ramah

Disember 2014

Benci dan Kasih

sajak,puisi,kelana,kelana cinta

Benci itu api
Kasih itu budi

Biarlah jatuh hati
kerana budi

Janganlah luka hati
kerana api

Hadir cinta kerana kasih
bersih lagi suci

Hati luka kerana benci
amat sukar diubati

Tetapi kalian juga perlu hati hati
kadang cinta juga boleh jadi benci

25 Februari 2015

Jurutera Waktu

sajak,puisi,kelana,kelana cinta

Lahir anak kerana ibu
Mahir jurutera kerana guru

Siapalah ibu yang bertuah
melahirkan anak hari ini
untuk menjadikannya jurutera
pada esok hari

Siapalah guru yang bertuah
mengajarkan angka dan rumi
untuk pelajarnya kenalkan dunia
menjadi pelajar bestari

Sesiapapun yang bergelar ibu
dan juga guru
dialah jurutera waktu
yang mengubah landskap hidup

AK Kelana
Februari 2015