Menjemput Taubat

menjemput taubat,cerpen,ak kelana,kelana cinta

(26 Mei 2014,12.24 AM)
(31 Mei 2014,8.21 PM)

AK Kelana

Rembang kian berselaput awan-awan putih yang berarak bosan. Senja merasuk langit bandar metropolitan Kuala Lumpur dengan jalur jingga bertampal merah. Sedari Asar tadi lagi Hamad menghabiskan masa berkeliaran di sekitar bangunan itu. Tidak senang duduk, ada saja dia berjalan ke hulu ke hilir sambil mata melilau-lilau seperti orang gila hilang baju. Sekali bersandar di dinding, merokok tepi longkang, cangkung tepi tong sampah. Titis-titis peluh basah timbul di dahinya yang bergaris-garis menerbitkan kebimbangan. Entah apa yang dirisaukannya. Pantas detik waktu, jantung Hamad berdegup kencang umpama taufan. Sungguh kencang! Sebilah pisau ‘rambo’ yang disisipnya dalam poket ‘jeans’nya dikeluarkan. Hamad masih menunggu kelibat lembaga yang dinanti. Digenggamnya erat-erat pisau itu, takut terlucut kelak tak jadi kerja fikirnya. Iya. Mudah saja Hamad, jangan risau. Kerjakan, sembunyikan bukti dan beredar. Bisik sisi gelap hatinya bergema di gegendang telinga. Mudah saja, lepas ni ambil wang upah boleh duduk senang dua tiga bulan. Sewa rumah pun belum langsai lagi. Dia juga sudah penat menadah telinga mendengar pekik terlolong tuan rumah. Fikirnya lagi.

Nauzubillah! Resah hati Hamad siapa yang tahu? Hidupnya sering saja dicakar resah, sering saja dicalarkan gelisah. Tuhan! Kerjanya Sang Izrail! Alangkah besarnya dosa yang ditanggung. Betapa tidak sanggup lagi Hamad meneruskan. Dia seringkali ingin menitiskan noktah setelah segala dosa yang sudah menggunung tak tertanggung. Tetapi Hamad juga sering mewajarkan kerjanya itu sebagai kerja yang suci. Sebagai ikhtiar rezeki hidupnya. Wajar bukan? Aku hanya inginkan sedikit wang untuk duduk senang, ini sajalah kerja yang aku tahu. Itulah yang Hamad sering pacakkan dalam pendiriannya yang bersebati dengan nafsu nafsi dan fatwa ciptaan sendiri. Hamad tidak mampu menidakkan bahawa dia tidak punya apa-apa. Yatim piatu, tak berumah, tak berharta, tak berkeluarga. Hamad perlukan sesuatu untuk dimiliki. Apa-apa sajalah. Kerana setiap detik dia merungut dengan ketentuan. Hamad semakin bosan dengan percaturan Tuhan. Terlalu rumit, sukar diduga. Aduhai.

Hamad juga tahu dunia sekarang ini semakin mencabar kredibilitinya sebagai manusia. Lihat saja perempuan, samada yang mata sepasang atau dua pasang, bertudung atau bersanggul unta semuanya melilau-lilau mencari lelaki yang berharta. Semuanya sekarang sudah mahu pakai duit. Apa dalam Berita Harian kata materialistik? Iya. Materialistik. Terlalu mementingkan kebendaan. Mahu pakai mewah, makan mewah, hidup mewah, ibadah tiada mewah-mewah. Hamad tahu itu semua dari akhbar, peti televisyen kedai Mak Som. Bahkan sekarang ini mahu kencing berak pun sudah kena bayar. Dunia apa ini? Sudahlah. Hamad berdiskusi sendirian. Apapun hiruk-pikuk kota inilah yang mendewasakan Hamad dengan baik buruk yang semua Hamad cerna.

Ketika Hamad berusia 12 tahun, Hamad dibawa ke Kuala Lumpur oleh kakaknya. Kakaknya pulang ke kampung, bawa Hamad ke Kuala Lumpur. Itupun selepas umi,walid dan Tok Pah mati dalam kebakaran. Semuanya sudah tinggal abu. Hamad seorang saja yang selamat ketika itu kerana Hamad pergi memancing ikan bersama rakan-rakannya di bujuk. Pulang saja, semuanya sudah tinggal abu. Umi,walid dan Tok Pah pun jadi abu. Semuanya hangus! Kak Milah terpaksa membawa Hamad tinggal bersama di kotaraya. Hamad tidak lagi bersekolah selepas itu. Dunianya seakan hilang punca. Bisu kelu tanpa suara.

Kak Milah kerja petang pulang pagi. Hamad pun kurang jelas dengan kerja Kak Milah. Dia tidak tahu apa-apa. Dua hari menapak di kotaraya yang gah ini, Kak Milah membuat keputusan untuk menghantar Hamad bekerja di kedai makan Mak Som. Suruh kerja jadi kuli. Terperap di rumah pun sia-sia juga, bukannya sekolah pun si Hamad tu. Kerjalah si Hamad itu lebih kurang 5 tahun setengah. Basuh pinggan mangkuk, ambil pesanan, masak di dapur. Semuanya Hamad sudah hafal satu-satu. Kalau diberi peluang Hamad buka kedai makan, sudah pasti Hamad kerja seorang sahaja sebab kerjanya sangat rajin. Cepat pula tu. Mak Som sering puji Hamad depan Kak Milah. Kak Milah angguk-angguk beruk saja.

Dalam tempoh lima tahun itu jugalah Hamad belajar banyak perkara dari Mak Som, Achop, Johan dan rakan-rakannya di lorong. Hamad mula berjinak-jinak dengan rokok, dadah, gam. Semuanya Hamad sudah cuba. Sebut saja kanabis, ectasy, pil kuda, daun ketum, cerut, atau apa-apa saja. Hamad sudah cukup arif, dia sudah hafal satu-satu benda-benda itu. Rokok pun sudah mula lekat di mulutnya. Kalau demam, tak usah makan ubat ada rokok saja boleh sihat.

Dalam tempoh lima tahun ini juga Hamad akhirnya tahu apa sebenarnya kerja Kak Milah. Pada suatu hari, Hamad terlalu ingin tahu apa kerjanya Kak Milah. Hamad selalunya balik kerja kedai makan Mak Som pukul 6, tapi Hamad minta dengan Mak Som balik pukul 5. Dalam perjalanan pulang, Hamad ternampak Kak Milah berjalan di suatu lorong. Si Hamad terus pergi ikut Kak Milah dari belakang. Ketika itu sudah pukul 6.30 petang. Lampu-lampu neon, lampu jalan sudah mula menerangi Kuala Lumpur. Tapi Hamad tidak tahu kenapa lorong itu semakin gelap dan terus gelap. Tiba di suatu tempat, Kak Milah belok ke kanan. Hamad pun ikut sama belok ke kanan. Kak Milah berhenti di situ, lalu berjalan menghampiri beberapa orang lelaki. Hamad buat selamba menyorok belakang kereta buruk yang diparkir di lorong itu. Dilihatnya Kak Milah dipeluk-peluk beberapa orang lelaki. Kemudian tubuhnya diraba-raba dan diperkosa sesuka hati. Hamad menekup mukanya dan terus berlari jauh dari lorong itu. Hatinya hancur berderai melihat satu-satunya saudara kandungnya memperlakukan kerja yang hina sedemikian.

Hamad sering menyalahkan Tuhan. Mengapa umi,walid,Tok Pah dan Kak Milah diambil pergi? Kenapa? Hamad tidak tahan dengan dugaan ini. Suasana sekitarnya dipenuhi golongan muda remaja yang rosak akhlak. Masyarakatnya tenggelam dengan dunia yang terlalu materialistik. Mementingkan kebendaan. Dunia ini gila! Tegas hati Hamad, dia tidak ingin hidup dalam dunia ini. Namun, kuasa Tuhan memanjangkan umurnya. Dia dipilih untuk menghadapi dugaan ini. Dia telah lihat umi,walid, Tok Pah dan Kak Milah diambil Tuhan. Kak Milah mati kena rogol dengan bapak ayam. Umi, walid, Tok Pah rentung dalam kebakaran. Hamad sudah bosan dengan percaturan Tuhan! Arghhhhhh!!! Dia berteriak dalam dirinya.

Mata Hamad melilau di sekeliling tempat itu. Kali ini Bahar, abang long Kampung Baru menyuruhnya menikam Lokan. Lokan itu kononnya peniaga dadah yang baru datang ke kawasan tersebut. Bahar berasa terancam dan marah dengan perlakuan Lokan lalu menyuruh Hamad membunuh Lokan. Pisau dalam genggamannya terus dipegang erat. Derup kaki seseorang mengalihkan perhatian Hamad. Hamad beralih ke suatu sudut. Itu Lokan!
Dengan pisau di dalam tangannya, Hamad lantas menghayun pisau tersebut tepat mengenai tulang rusuk kanan Lokan. Lokan terjelepok ke lantai memuntahkan darah yang masih tersisa di dalam tubuhnya. Hamad pantas menarik jasad Lokan ke timbunan sampah sarap yang berada berhampiran longkang di suatu sudut lorong itu. Pisau yang tertusuk di tulang rusuk Lokan itu dicabut semula. Hamad duduk bersandar sebentar sambil mengeluarkan sebatang rokok kemudian mencucuhnya dengan pemetik api.

“Lokan, lu manyak kesian ma. Baru mali sudah kena lipat.”

Hamad kemudian menimbunkan tubuh Lokan yang sudah tidak bernyawa itu dengan kepingan-kepingan kotak dan sampah-sarap yang ada berhampiran. Sebotol minyak tanah dicurahkan ke atas timbunan tersebut lalu dibakar. Misi Hamad selesai. Dia membalut pisau yang digunakan dengan elok lantas disimpan kedalam poket ‘jeans’nya. Hamad berlalu dari lorong itu dengan sedikit hampa dan rasa yang berdosa tanpa menyedari ada orang yang memerhatikan gerak-gerinya.

Semua itu Hamad ingat satu persatu. Dibeleknya kembali memori pahit getir kehidupannya di Kuala Lumpur. Kota inikah yang membakarnya dengan bara dosa dan api kejahilan? Atau dia sendiri yang menempah tiket neraka di kota ini. Dia sebak. Memikirkan dirinya yang jahil. Malah menyalahkan Tuhan. Aduhai! Hati Hamad kian sebak.Dia terus mengalunkan istighfar kepada Tuhan. Tuhan, ampunkan dosaku Tuhan!

“Apa yang telah kamu lakukan ini Hamad?”

“Apa dia Liza? Apa yang kau maksudkan?”

“Hamad…Kenapa sampai sanggup mencabut nyawa Hamad? Kita bukan Tuhan. Yang menentukan kematian ini kerja Tuhan Hamad. Hamad, taubatlah Hamad. Bukan Hamad ada janji dengan Liza mahu berubah?”

Hamad diam mendengar penjelasan Aliza. Hatinya mengendur, kembung kempis. Terasa bagai ada batu yang besar menghempap kepalanya. Hamad dengarkan saja kata-kata Aliza, baginya Aliza sahajalah segalanya buat masa ini. Alizalah yang menemani Hamad meskipun Hamad tampak jahat, tetapi Aliza memberanikan diri berkawan dengan Hamad. Katanya Hamad kelihatan baik padanya. Hamad juga menyimpan perasaan terhadap Liza.

“Liza…Maafkan Hamad, bukan kehendak Hamad.”

Dia menitiskan airmatanya. Sebak. Terlalu banyak dosa yang dia lakukan di bumi Tuhan ini. Menyedari setiap cebis nikmat ini adalah milik-Nya, Hamad tunduk ke tanah. Butir-butir air seakan kaca lantas memenuhi kantung airmatanya. Terlalu penuh seakan sudah mahu tumpah ke tanah.

“Hamad, mohonlah ampun dengan Tuhan.”

Sebuah kereta polis berhenti di depan kedai makan Mak Som. Dua orang anggota polis berbadan tegap keluar menggari Hamad yang hanya mampu kaku di atas bangku. Tubuhnya lembik seperti biskut yang dicelup dalam teh panas. Hatinya sebak melangit. Tuhan! Aliza hanya menitiskan airmata sambil menyaksikan kereta-kereta itu meluncur diatas jalanraya, lenyap dari pandangannya.

Beberapa minggu setelah penangkapan Hamad, beberapa orang lagi orang bawahan Bahar dan juga Bahar ditangkap. Pada hari perbicaraan, Aliza merupakan saksi tunggal kes pembunuhan Lokan. Setiap soalan yang ditanyakan peguam dijawab dengan jujur meskipun pahit hati menahan.

“Pahit untuk aku menyatakan semua ini Hamad.”

 Hamad hanya kaku di kandang mahkamah. Dia tunduk rapat ke lantai seakan lantai itu sudah tembus dengan pandangannya. Hasil perbicaraan, Hamad dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh pihak mahkamah atas kesalahan membunuh dengan niat. Setitik dua air mata tergelincir lalu jatuh membasahi baju dan wajah Hamad. Oh Tuhan!

Alunan keinsafan kian menyibak ke dalam hatinya, kemudian menerangi seluruh alam bawah sedarnya dengan cahaya hidayah yang melampau terangnya. Hamad sedar akan hakikat dia bukan lagi Izrail, dan dia bukan Izrail. Bukan. Dia silap selama ini. Melebihkan diri sebagai Tuhan mutlak kepada dirinya sendiri. Dia bertuhankan nafsu! Aduhai. Alangkah beratnya dosa ini Tuhan. Jiwanya berteriak. Semakin sebak hati Hamad berintihan tatkala tebing mulutnya deras mengucap tahmid dan tasbih. Hanyut dalam kehibaan yang terlalu kuat, dia lantas bersujud kepada Tuhan memohon ampun. Alangkah berdosanya aku. Alangkah!

Sarwa jiwanya diapungkan dilautan keinsafan untuk menenangkan diri. Sambil airmata yang deras bercucuran, Hamad teringat akan kata-kata Aliza kepadanya. Dia tidak lupa. Tidak. Mana mungkin setiap patah kata Liza dilupakan. Dia masih ingat akan kata-kata itu. Masih segar bugar di gudang memorinya.

“Hamad…Hamad sayang Liza kan? Berubahlah Hamad. Tinggalkan kerja-kerja haram itu. Liza boleh minta tolong Pak Hamid di kedai basikal itu berikan Hamad kerja kalau Hamad mahu. Rezekinya pun halal.”

“Biarlah Liza. Hamad sudah biasa dengan semua ini. Barangkali suatu hari nanti Hamad akan berubah.”

“Inshaallah Hamad. Moga-moga Tuhan permudahkan urusan hidup Hamad. Amin.”

“Moga-moga.”

“Jemputlah taubat Hamad… Sebelum taubat menjemput.”

Tuhan!!!
Berat benar hati Hamad. Kepalanya terus dirapatkan ke lantai. Moga-moga taubatnya diterima Tuhan. Aduhai. Hamad terus menerus beristighfar di dalam hati dan di bibirnya. Biarlah malam itu dia tidak tidur kerana di hari esok dia bakal tidur nyenyak untuk selamanya.

Catat Ulasan