Lafaz Yang Terbuku

lafaz hati,cinta,cerpen,kelana cinta

(27 April 2014, 11.34 PM)
AK Kelana
I

Majlis itu berlangsung dengan selesa. Pengacara majlis telah turun dari pentas, meninggalkan kontinya ke lapangan hadirin yang ramai. Tegak semuanya, berkumpula dalam kelompok-kelompok. Masing-masing rancak berdiskusi dengan agenda tersendiri. Ada yang jeda di kerusi-kerusi kosong. Letih barangkali. Apa-apapun lagu tidak putus-putus berputar dari peti speaker di bahagian dalam kiri dan kanan dewan itu. Namun perbualan para manusia itu terlalu kuat. Bingit!

Iya. Genap 5 tahun mereka tidak bertemu satu sama lain. Sebelum ini masing-masing punya hal masing-masing. Tidak sempat bertegur sapa. Kali ini baru bersua muka. Sekarang masing-masing ada yang sudah punya kerjaya, masing-masing lepasan universiti-universiti terkenal tanah air. Ada juga lepasan universiti luar negara. Ramai! Sebut saja kejuruteraan,perubatan, senireka, perniagaan. Banyak! Alangkah bertuahnya bumi tercinta ini menjunjung akar-akar muda ini suatu ketika dahulu.
Alangkah!

Hilman duduk di suatu sudut, mengisi kerusi yang kosong. Di depannya sekarang ini lepasan universiti ternama, University of South Wales,Australia. Betapa bangga dirinya ketika ini, berhadapan dengan gadis yang pernah dikenalinya dulu sebagai gadis yang pendiam, juga pintar. Untungnya seisi jiwa ini jika memilikimu Hazirah. Hakikat diri ini sudah lama menyimpan lafaz yang terbuku. Terlalu sarat di atma ini. Kembung Hazirah. Aduh! Iya, Hazirah sedang terduduk di depannya.

Sudah lama.”

Iya, sudah lama.”

Getar suara yang riuh rendah semakin membingitkan suasana. Hilman cuba berdiri tegak. Berdiri dalam realiti dan berdiri dalam akal fikirnya yang buntu. Hatinya tidak tegak. Lututnya seakan longgar. Skrunya tercabut barangkali ketika bertentang mata tadi. Dia gementar akan susuk tubuh yang terpacak di hadapannya. Nafasnya mengendur. Bagai tayar kempis. Sekadar sepatah dua kata termuntah dari bibirnya. Lidahnya tidak lincah seperti biasa. Lembut. Lurus. Mencari rentak, buntu. Dia cuba memeriahkan suasana. Hilman buntu lalu menyelam ke dasar memori. Semakin dalam, dia menyelam jauh ke samudera minda. Mencari idea. Dia tidak ingin tewas!

Alam bawah sedarnya ligat mengatur cebisan-cebisan kenangan yang berserak dilantai memorinya. Bagaikan emping-emping salji di bumi Osaka sewaktu kali pertama dia menapak ibu jarinya di bumi Jepun untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan. Sungguh indah, sungguh. Setiap emping itu bersalut putih bagai kapas. Jernih bagai embun. Pandangannya kabur dengan keindahan. Sungguh indah. Sungguh. Barangkali sudah lama kamus memorinya tidak dibelek-belek satu per satu. Malas benar gerak alam bawah sedar ini. Dia beranjak ke suatu ruang, sambil mengutip cebisan memorinya, digenggam satu per satu. Meneliti satu per satu sambil membilang. Gudang ini terlalu sarat dengan naskah-naskah yang berharga.

II

Seisi kelas hangit. Terlalu bungkam disini. Sepi. Pelajar-pelajar kelas 5 Avicenna sekadar tunduk. Mereka sedang dimarahi oleh Madam Salwa dek kerana gagal menyiapkan kerja yang diberikan. Malah seisi kelas tidak menyiapkan kerja yang diberi. Tiada langsung. Masakan guru setegasnya membiarkan anak-anak didiknya duduk senang tanpa melakukan latihan yang diberikan.

Jam menunjukkan 10.40 pagi. Akhirnya detik penantian mereka berakhir. Sesi rehat telah menjemput para pelajar MRSM Besut ke dewan selera. Alangkah malangnya nasib mereka. Setelah menadah telinga selama satu jam. Entah berapa butir debu-debu kecil yang menyinggah di telinga mereka sepanjang subjek Bahasa Inggeris itu. Malang sungguh!
Peperiksaan SPM 2014 bakal hadir dihadapan pelajar-pelajar tingkatan lima itu. Bukan sahaja 5A. Malah kesemua merekalah. Bimbang mengunyah risau. Masing-masing bertungkus lumus mengatur strategi yang terbaik. Mengulangkaji secara berkumpulan. Membuat latihan berulang kali. Pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh guru bagi membolehkan pencapaian bagi tahun itu meningkat. Setiap pelajar perlu fokus kepada ulangkaji. Perlu membangkitkan suasana kecemerlangan dan semangat kejayaan dalam diri. Itulah yang ditekankan masing-masing guru dan pelajar.

Hilman tidak terkecuali dari situasi itu. Dia juga harus berusaha sehabis mungkin bagi peperiksaan ini. Mesti! Dia sentiasa menegakkan perkataan itu di dadanya. Dalam gerak hati, dalam gerak geri. Dia sentiasa berdoa kepada Tuhan agar mempermudahkan urusannya. Sebelum ini resultpercubaannya biasa saja, 8A 1B . Hilman tahu, terlalu mudah untuk mendapat result sedemikian sekiranya dikerjakan segala latihan habis-habisan. Hilman tahu itu. Mudah seperti mengunyah kacang. Yang selebihnya kerja Tuhan. Serahkan saja kepada Tuhan. Namun kali ini dia pasti boleh lakukan lebih lagi. 9A+ mungkin. Siapa tahu?

Hilman tidak pernah berputus harap. Impiannya ingin menunaikan hasrat ibunya. Iya! Dia ingin membanggakan ibunya yang seorang itu, dia sudah meningkat tua di kampung. Bapa? Hilman punya bapa, tapi sudah bercerai. Ketika Hilman darjah 4 lagi. Sebelum Hilman menjejak kaki ke tanah MRSM Besut ini lagi. Hilman pun tidak tahu kenapa. Hilman sekadar redha, dia tahu ini semuanya dugaan Yang Maha Esa. Dia tahu itu. Biarlah. Biarlah! Asalkan Hilman tidak pernah lupa akan jasa kedua ibu bapanya. Hilman ingin jadi jurutera yang berjaya. Usahawan yang kaya. Anak jati Melayu yang berbudi kepada tanah air. Iya!

Betapa murni hasrat hati Hilman. Namun apakah akan tergapai sekiranya dia tidak berusaha? Iya. Kerana itu dan sebab itulah Hilman membanting tenaga siang dan malam mengulangkaji pelajaran bersama rakan-rakan yang lain. Dia ingat akan pesan guru-gurunya. Kalau hendak berjaya, ajaklah orang lain turut serta. Itulah yang Hilman sedang kerjakan.Hilman sentiasa menegakkan pendiriannya. Meski hatinya menyimpan seribu pahit getir yang mungkin tidak pernah rakan-rakannya lalui. Hilman sentiasa teguh dengan kata-kata. Dia pasti berjaya.




Minggu peperiksaan berlangsung

Sepanjang tahun itu, setelah kesemua calon peperiksaan SPM 2014 pulun habis selagi mana mereka mampu, akhirnya kerusi kosong di dewan peperiksaan memanggil satu per satu dari mereka untuk berhadapan dengan kertas masing-masing. Masing-masing berdoa moga dipermudahkan. Masing-masing sudah berusaha. Sekarang yang tinggal adalah usaha yang terakhir. Tiada ikhtiar lain lagi. Doa dan tawakkal.

Seorang wakil diminta membacakan doa. Hilman. Dialah orangnya. Hilman diminta sebagai wakil membacakan doa untuk seisi dewan moga dipermudah. Hilman tidak menolak. Menurut saja. Semua mahu berjaya. Mintalah dengan Tuhan. Mereka sama-sama merafakkan kesyukuran kerana hari ini mereka masih sihat walafiat dan mampu menduduki peperiksaan ini. Alhamdulillah! Permudahkanlah jari jemari kami ini untuk menoreh setiap jawapan Ya Alim!

Masing-masing memberi tumpuan penuh kepada minggu peperiksaan yang sedang berlangsung dan bakal tamat sehari saja lagi. Segala tunjuk ajar guru telah berakhir. Tinggal saja usaha pelajar sendiri untuk membangkitkan diri mereka dengan senjata yang mencukupi. Seluruh butir peluru yang berbaki di kumpulkan, dicantum menjadi senjata padu. Biarlah mereka berjuang keakhirnya hingga sempurna perjuangan itu. Biarlah mereka semua berjaya bersama.

Hilman pun tidak lupa. Semua rakan-rakannya yang menduduki peperiksaan ini sedang menghadapi waktu yang getir untuk ditempuhi. Rakannya yang berpindah ke maktab lain ketika awal tingkatan empat. Ada yang ke MRSM Pengkalan Chepa, Tun Ghafar Baba, Pontian, Kuantan. Rakan-rakan jambori, tunas saintis, minggu bahasa. Rakan-rakannya dari Johor,Selangor,Terengganu, Kelantan, Kedah, Pahang. Semualah! Mereka semua sedang menghadapi waktu yang getir.
Sekeping mesej masuk ke peti mesej telefon bimbitnya. Dari Hazirah.

Assalamualaikum,
Barangkali kau lupa aku disini, tidak mengapalah. Yang penting selamat majujaya.”

Ahh... Aku masih ingat akan kamu Hazirah, aku cinta sama kamu. Bukankah aku telah berjanji kepadamu dalam hatiku Hazirah? Barangkali kamu yang lupa aku dan janji aku yang tidak pernah kau tahu. Kau istimewa Hazirah. Suatu masa kelak akan kulafaz kalimah agung itu Hazirah. Tunggu. Kudambakan cinta yang khalis Hazirah! Setia. Biarlah aku saja kumbang yang singgah di kelopak cintamu Hazirah. Hatinya meronta. Aduh! Biarlah. Biarlah. Dia tidak ingin mencampuradukkan soal cinta ke dalam jiwanya ketika itu. Serabut benar memikirkan.

Hari keputusan SPM 2014 dikeluarkan

Tiba masanya, setelah seminggu Lembaga Peperiksaan Malaysia mengumumkan tarikh keputusan SPM dikeluarkan. Inilah harinya yang ditunggu-tunggu. Yang dinanti-nanti para calon yang bertungkus-lumus semata untuk menempa keputusan yang cemerlang. Masing-masing tenang, ada juga sekumpulan pelajar yang berbicara sesama sendiri. Membicarakan mengenai keputusan yang bakal mereka dapat. Mereka risau. Bimbang.

Hilman hadir ke majlis itu awal-awal pagi lagi. Dia tahu pekarangan Dewan Sri Gemilang bakal sesak dengan kehadiran ibu bapa, saudara mara para calon peperiksaan yang menunggu keputusan hari ini.
Sebenarnya Hilman baru saja pulang dari UniKL menaiki bas malam semalam. Hasil keputusan percubaannya yang cuma 8A 1B, dia dipanggil untuk ditemu ramah oleh pihak Majlis Amanah Rakyat(MARA) bagi program lanjutan pengajian ke luar negara dalam bidang kejuruteraan. Kini sudah 3 bulan berada disana. Program ini tempohnya 3 tahun di Malaysia, dan 2 tahun di Jepun. Alhamdulillah. Semua ini rezeki Tuhan untuknya. Awal pagi tadi dia sudah menelefon ibunya, memohon restu dan doa ibunya di kampung. Insyaallah. Hari ini bakal memberikan kepuasan kepada dirinya. Moga-moga.

Keputusan diumumkan, suasana bungkam tiba-tiba. Seramai 19 orang mendapat 9A. Alhamdulillah, 176 orang calon dan semuanya tidak ada yang gagal dalam setiap subjek. Syukur Tuhan, syukur. Dia memegang slip keputusannya dengan bangga. Dia merupakan salah seorang dari 19 orang calon itu. Alhamdulillah! Mereka mengucapkan tahniah sesama mereka. Masing-masing tersenyum puas.

Hazirah? Bagaimana Hazirah di rantau sana? Dia tidak tahu. Tetapi ingin tahu. Dia juga ada rasa prihatin. Didengarnya dari rakan-rakan Hazirah, Hazirah mendapat peluang melanjutkan pelajaran dengan keputusan percubaan. Harap-harapnya Hazirah juga turut sama gembira ketika ini. Juga rakan-rakannya di luar sana. Masih ramai lagi. Moga mereka sama  mendapat keputusan yang baik sepertinya. Moga-moga.

III

 Di suatu ruang, dia memungut segumpal memori. Sarwa perasaan mengombak meninggi, kantung atma mengendur meluruhkan damai rasa. Alangkah! Alangkah indahnya!

Hazirah, aku katakan kali ini saja.”

Apa dia Hilman?”

Aku cinta padamu sedari kali pertama kita bersua.”

Hazirah merenung dalam kedasar bebola mata Hilman. Sungguh menusuk. Ditenungnya bagai hendak dicabut bebola mata itu lalu disimpan. Hilman sekadar senyap, menanti jawapan.

Dimatamu aku melihat kejujuran, cintamu khalis Hilman.”
...sama seperti cinta aku!”

Hazirah memuntahkan lafaz hati yang terbuku, begitu juga Hilman. Seri. Biar bangunan-bangunan, kerusi,meja, dewan dan para hadirin menjadi saksi cinta kita Hazirah. Biarlah bumi rindu ini menjadi stesen persandingan kita duhai bunga. Awan berarak ceria. Riuh rendah burung yang entah dari mana menyinggah di telinga. Indah! Ahh... Akulah kumbang yang menyunting dikau kelopak cintaku! Khalis! Murni!

Catat Ulasan