Kian Terlupakan


Entah berapa benua kauteroka
Gurun keberapa gurun sudah kausila
Lautan mana lagi tidak kausapa
Ancala mana lagi belum kautemu
Duri yang mana belum kausonsong
Seteru mana lagi tak semuka?

Jika didaki sigai sejarah semalam
Bahangnya pasti mendakap pelosok ingat
Derita dan pahit bersebati runtun berzaman
Jerih perih setiamu pejuang
Susah payah leluhur terdahulu
Luruh nyawa ayahanda!
Renyah hati bonda!
Kini telah kian terlupakan.

Bagai kesucian embun pagi
Luasnya samudera damai ini
tak berpantai
Tingginya ancala harapan
kan tergapai
Kita hanya mewarisi!

Wujudkan suatu ruang
Gaulkan akal dan fikir
Ingatlah!
Yang bertandang telah pulang
Namun jasa-jasa berkilau keemasan
jangan kau lupakan!

Catat Ulasan