Apalah Daya Hati



Faris Haikal duduk termenung sendirian. Masih segar ilmu yang ada di dalam kotak ingatannya. Matanya memandang sebaris buku-bukunya yang tersusun rapi di atas rak. Sungguh banyak buku-buku tokoh dan pahlawan Islam yang termasyhur. Tiada mereka, tidak majulah Islam seperti sekarang. Tanpa mereka dan semangat yang ditonjolkan dalam diri Rasulullah saw, tidaklah Islam akan tersebar sebegini rupa.

'Subhanallah.... Aku dapat rasakan merekalah nadi-nadi Islam yang sebenar.... 'Faris Haikal bermonolog sendirian.

Fikirannya kembali teringat perihal petang semalam. Calon isteri hendaklah dipilih dan dipandang dari segenap penjuru. Rupa paras itu adalah pilihan yang terakhir. Apa yang penting, ilmunya, kebijaksanaannya, kekuatannya dalam memegang syari'at Islam itu yang penting. Adakah ciri-ciri itu sudah cukup sempurna?

Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya:"Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama nescaya kamu akan selamat."

Baginya sangat susah untuk mencari wanita yang betul-betul beragama. Agama dalam konteks yang disebut oleh baginda saw itu, bukanlah hanya agama pada nama sahaja. Tetapi, agama itu meluas. Ia bermaksud berpegang teguh pada ajaran dan syari'at Islam. Dari segi fikrahnya, dari segi dia berpakaian, penutupan aurat yang sempurna, pergaulannya, ilmunya, amalnya dengan ilmu tersebut dan lain-lain lagi.

Beramal dengan ilmu juga perlu kerana ilmu tanpa amal itu ibarat pokok yang tidak berbuah . Imam al-Ghazali juga pernah berkata, "Ilmu tanpa amal itu gila, amal tanpa ilmu itu pula sia-sia"

Faris Haikal mengelamun jauh. Hatinya sekarang ibarat kosong dan rasa tidak ingin bernikah selepas Delisha Iman bertunang. Tapi, apakan daya... Nikah itu merupakan sunnah terbesar baginda saw. Rasulullah pernah bersabda, "Barangsiapa yang tidak suka akan sunnahku, dia bukanlah dari kalanganku.."

Allah juga telah berfirman dalam kitab-Nya yang bermaksud;
"Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui."

'Allahu Robbi... Berilah aku kekuatan untuk mencintai bakal isteriku...' Faris Haikal bermonolog lagi.

Teringat ketika masih berkawan dengan Delisha Iman sewaktu di sekolah MTI dahulu. Delisha Iman seorang perempuan yang rajin membaca. Di mana sahaja dia berjalan, pasti buku ada di tangannya. Buku-buku yang dibaca itu pula merupakan buku ilmiah yang sangat bermutiara isi kandungannya. Masih segar kenangan itu ketika sedang menunggu mesyuarat exco-exco dakwah. Mata Faris Haikal terpandang pada serangkap tajuk buku yang sedang dibaca Delisha Iman.

'Sultan Muhammad Al-Fateh penakluk Konstantinopel' menjadi perbualan mereka berdua ketika itu.

"Rajin anti baca buku... Tajuk buku tu best. Ana pun suka baca buku-buku macamtu. Semalam baru lepas habis baca buku 'Khalid Memburu Syahid'." Faris Haikal tersenyum nipis.

Memang dia sudah lama tertawan hati terhadap Delisha Iman. Cuma itulah pertama kali dia dapat memberanikan diri untuk memulakan perbualannya yang selama ini dia pendam sahaja di hati. Topik buku-buku ilmiah itulah yang menjadi permulaan hubungannya dengan Delisha Iman.

"Yep! Sangat best. Seorang pemuda yang masih remaja dah boleh jadi sultan, lepastu bijak dan sangat alim sehingga berjaya membuat strategi sendiri untuk menawan kota Konstantinopel. Solat sunat tahajjud tak pernah tinggal... Sangat hebat...! Kagum ana dengan beliau..." Delisha Iman kembali menala matanya ke buku itu. Dia memang suka berkongsi ilmunya kepada orang lain, tambah-tambah orang seperti Faris Haikal yang kebetulan mempunyai minat yang sama dengannya.

Faris Haikal tersenyum keseorangan. Kenangannya dengan Delisha Iman dahulu tidak pernah dia lupakan walaupun sedetik. Delisha Iman adalah satu-satunya perempuan yang berjaya bertamu di hatinya setelah diteliti peribadi dan kerajinan gadis itu dalam menuntut ilmu. Ramai yang tertawan hati pada Faris Haikal tetapi keunikan Delisha Iman penyebab dia tidak perasan perempuan lain dalam hidupnya. Ilmu, bijak, rajin, unik, sempoi... Itulah yang menjadi daya penarik Faris Haikal terhadap Delisha Iman. Faris Haikal tertawa kecil sambil tersenyum meleret.

Mata Faris Haikal mula melihat jarum jam di dinding. Pukul 5.15am pagi. Lama fikirannya mengelamun jauh selepas menunaikan solat istikharah dan tahajjud tadi. Niat hati untuk istikharah jodoh disebabkan Masyitah melamarnya petang tadi. Tetapi bayangan Delisha Iman pula yang datang menerjah ke dalam minda. Aduh, dia sudah jadi tunang orang. Aku tidak boleh fikir tentangnya lagi. Getus hatinya....

Catat Ulasan